43. HUKUM ADAT

HUKUM ADAT yaitu keputusan (hukum) pada kebiasaannya berlaku (atau yang pernah berlaku). Perkara yang diputuskan dengan sebab terjadi berulang-ulang kali dan berlaku sekurang-kurangnya dua kali. Misalnya, makan banyak wajib dan pasti kenyang kerana pada kebiasaannya sudah berulang-ulang  berlaku begitu. Dengan lain-lain perkataan, hukum adat itu ialah perkara yang mensabitkan satu perkara dengan perkara yang lain. Umpama makan dengan kenyang. Berlaku adat (kebiasaan) berulang-ulang itu ada empat perkara seperti berikut:

1. Ada dengan ada, seperti ada makan ada kenyang.
2. Ada dengan tiada, seperti ada panas tiada mandi.
3. Tiada dengan tiada, seperti tiada sejuk tiada mandi.
4. Tiada dengan ada, seperti tiada lapar ada makan.

Hukum adat terbahagi kepada tiga bahagian.

1. Wajib pada adat ialah perkara yang pasti terjadi dan pasti berlaku pada kebiasaannya. Misalnya, makan banyak wajib (pasti) kenyang. Jika bakar dengan api wajib (pasti) hangus, dan lain-lain seumpamanya.

2. Mustahil pada adat ialah perkara yang tidak biasa berlaku, seperti makan banyak tidak kenyang, bakar dengan api tidak hangus, dan lain-lain seumpamanya.

3. Harus pada adat ialah perkara yang boleh berlaku/terjadi dan tidak berlaku/terjadi. Umpamanya, kenyang apabila makan sebanyak dua pinggan nasi tetapi boleh juga ia kenyang jika makan kurang dari dua pinggan atau boleh jadi juga baru kenyang apabila makan lebih dari dua pinggan.

Nota: Tiga perkara hukum adat  di atas, semuanya adalah termasuk di dalam hukum harus pada akal (lihat berikutnya).

Dengan mengetahui hukum adat akan mengelakkan seseorang itu terkadang-kadang menjadi fasik (berdosa) seperti menyalah anggap wajib adat itu ialah wajib akal. Misalnya,tali tidak putus setelah dipotong dengan pisau tajam. Lalu seorang berkata, " Tak terima akal tali itu tidak putus." Maka orang sedemikian itu jahil dengan hukum adat.
Kadang-kadang boleh jadi kufur disisi Allah Ta'ala seperti mengatakan "Tak terima akal..." apabila membicarakan tentang mukjizat kenabian Rasul-Rasul seperti tongkat Nabi Musa a.s menjadi ular, Nabi Ibrahim a.s tidak hangus dibakar oleh Namrud, tidak terluka leher Nabi Ismail a.s apabila disembelih, air yang banyak mengalir dari jari Nabi Muhammad s.a.w. dll. Semua kejadian itu adalah mustahil pada adat, harus pada akal bukan mustahil pada akal.    

Postingan populer dari blog ini

31. 40 KAIDAH FIQIH UMUM (KULLIYAH)

68. KIFAYATUL AWAM